Ramadan tiba lagi. Namun ketibaan kali ini dalam suasana sungguh berbeza. Wabak yang sedang melanda dunia tidak memungkinkan umat Islam menyambut Ramadan sebagaimana kebiasaannya. Ramadan tanpa iftar dan sahur, solat sunat tarawih, beriktikaf dan bertadarus di masjid secara berjemaah pastinya dirasakan begitu janggal. Begitu juga masjid yang sentiasa diimarahkan pada bulan Ramadan, kali ini menjadi sunyi dan sepi. Semuanya ini menimbulkan kesedihan yang tidak terucap. Namun kelainan atau perbezaan dalam menyambut kedatangan Ramadan perlu diterima dengan hati terbuka. Agama mengajar kita untuk memelihara kemaslahatan lebih utama, iaitu nyawa yang merupakan perkara daruri. Nyawa wajib dipelihara sebagai salah satu prinsip yang dipelihara oleh syariah (maqasid al-syariah). Dengan terpeliharanya nyawa atau diri, agama yang merupakan satu lagi prinsip yang dipelihara syariah akan turut terbela.
Dalam hubungan ini, penangguhan semua aktiviti peribadatan secara berjemaah sebagaimana diputuskan sebelum ini bertujuan memelihara nyawa dan mengelakkan penyebaran wabak. Institusi fatwa pada peringkat antarabangsa dan tempatan mengeluarkan pandangan sebagai panduan untuk masyarakat awam. Antaranya termasuklah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia, Majlis Ugama Islam Singapura, Hai’ah Kibar Ulama’ al-Azhar al-Syarif, Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, Majlis `Ilmi Fiqhi serta Kementerian Waqaf Syria dan Kesatuan Ulama Syam. Rumusan yang dapat dibuat daripada fatwa yang dikemukakan ini antara lain, pertama penangguhan ibadah seperti solat berjemaah dan Solat Jumaat (yang perlu digantikan dengan solat Zohor) buat sementara waktu adalah diharuskan dari sudut syarak. Demikian juga dengan semua aktiviti keagamaan yang diadakan di masjid. Hal ini dengan mengambil kira kemudaratan yang diakibatkan wabak sebagaimana disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan. Meskipun pelaksanaan solat berjemaah ditangguhkan, namun azan mesti dilaungkan setiap waktu solat di setiap buah masjid. Kedua, penghidap penyakit atau yang memiliki simptom wabak diharamkan dari sudut syarak untuk berada di tempat awam atau ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah, Solat Jumaat dan solat hari raya. Langkah pencegahan seperti kuarantin dan rawatan perlu diambil untuk memelihara kemaslahatan umum dan mengelakkan penularan wabak. Tindakan kuarantin seumpama ini pernah dilaksanakan Ibn Sina ketika wabak Maut Hitam (Black Death) melanda Asia hingga Eropah dan mengorbankan 200 juta nyawa. Ketiga, dari sudut syarak setiap warganegara bertanggungjawab mematuhi arahan dan panduan yang dikeluarkan kementerian kesihatan bagi mengekang penularan dan menghapuskan wabak.
Kita umumnya mengetahui Islam merupakan agama persaudaraan. Oleh yang demikian, prinsip persaudaraan turut terserlah melalui ibadah yang disyariatkan seperti solat berjemaah. Namun demikian, Islam juga menekankan keprihatinan terhadap keselesaan dan kesejahteraan anggota jemaah lain. Dalam hubungan ini, terdapat Hadis Nabi SAW yang mengingatkan individu yang memakan bawang putih atau merah untuk tidak ke masjid dan hanya duduk di rumah sahaja. Tegahan Baginda SAW ini bertujuan mengelakkan ketidakselesaan dan gangguan ketika menunaikan solat secara berjemaah. Jika bau yang tidak menyenangkan pun ditegah oleh Nabi SAW, apatah lagi jika ia melibatkan penyakit dan wabak yang boleh mengundang maut. Sudah pasti, keperluan untuk mengelakkan pergaulan dan kebersamaan di masjid lebih-lebih lagi dituntut.
Fatwa yang telah dikeluarkan pada peringkat tempatan dan antarabangsa itu juga dapat dijadikan panduan bagi pelaksanaan ibadah yang lazimya dilaksanakan di masjid sepanjang bulan Ramadan. Sebagaimana ditekankan dalam fatwa daripada Hai’ah Kibar Ulama al-Azhar al-Syarif, solat berjemaah tidak seharusnya di masjid malah sebaliknya boleh dilaksanakan di rumah bersama-sama dengan keluarga selagi sekatan perjalanan masih berkuatkuasa. Keharusan untuk solat berjemaah di rumah termasuk Solat Tarawih juga pernah dinyatakan oleh Almarhum Syeikh Atiyyah Saqr, ulama Mesir yang terkenal. Menurut beliau, meskipun Solat Tarawih lebih afdal di masjid kerana masjid merupakan sebaik-baik lembah di bumi, namun ia boleh dilaksanakan di kediaman masing-masing kerana bumi Allah seluruhnya merupakan masjid.
Ramadan kali ini yang tiba dengan jaminan keampunan dan limpahan rahmat Ilahi pasti lebih bermakna. Inilah peluang yang amat diperlukan oleh insan beriman untuk bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah SWT dan mendoakan kesejahteraan penduduk dunia agar bebas daripada wabak yang sedang melanda. Imam Ahmad ibn Ali ibn Hajar al-`Asqalani dalam bukunya, “Bazl al-Ma`un fi Fadl al-Ta`un” menyebut beberapa tindakan yang diambil oleh penduduk Mesir ketika dilanda wabak taun pada tahun 449H. yang mengorbankan 80,000 orang. Penduduk Mesir berkumpul untuk membaca Surah Nuh dan kitab Hadis al-Bukhari selain berdoa dengan penuh pengharapan. Apabila keadaan tidak juga reda, mereka membaca qunut dalam solat dan doa di samping berpuasa. Hal ini menjadikan jiwa mereka begitu pasrah, khusyuk, tawaduk dan kembali kepada Allah dengan penuh keinsafan. Imam Ahmad turut merujuk tindakan yang diambil oleh Khalifah `Umar ibn Abdil Aziz ketika menghadapi peristiwa gempa bumi, iaitu dengan bersedekah dan berdoa sebagaimana dianjurkan oleh al-Quran dalam ayat 23, Surah al-A`raf yang bermaksud, “Wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami.” Menurut Imam Ahmad, tindakan yang dilakukan oleh Khalifah `Umar harus diteladani meskipun bentuk musibahnya berbeza kerana kedua-duanya menimbulkan ketakutan.
Pegerakan terhad juga tidak menjadi halangan untuk melaksanakan amal salih lain yang amat digalakkan pada bulan Ramadan seperti bersedekah. Peluang untuk berbuat demikian ternyata luas pada saat ini dan tidak terhad dalam bentuk kewangan. Sebagaimana dilaporkan, sebahagian anggota masyarakat kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan disebabkan situasi yang berlaku. Sudah tentu sumbangan pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan turut mengukuhkan inisiatif bantuan yang disediakan kerajaan. Demikian juga dengan khidmat kesukarelawanan dan kepakaran yang disumbang bagi membantu pasukan perubatan serta kesihatan dalam usaha menangani wabak. Mudah-mudahan Ramadan juga dimanfaatkan untuk bermuhasabah atas segala kerosakan yang dilakukan temasuk terhadap alam. Sebagaimana dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pencemaran udara menyebabkan kematian tujuh juta nyawa setiap tahun. Ia antara lain disumbangkan melalui kegiatan perindustrian terutama negara kuasa besar dunia. Walau bagaimanapun, pendekatan kuarantin oleh negara di dunia disebabkan COVID-19 dapat mengurangkan tahap pencemaran, meningkatkan kualiti udara dan menjernihkan laut serta sungai. Ternyata, COVID 19 bukan sekadar ujian buat penduduk dunia tetapi membawa hikmah yang tidak terhitung.
Hikmah yang tidak terhitung inilah yang seharusnya mendorong kita mengisi Ramadan dengan sebaik-baiknya. Situasinya mungkin berbeza namun peluang untuk memperoleh keberkatan, kerahmatan dan keampunan Allah SWT tetap sama. Sehubungan itu, bersesuaian dengan Ramadan yang akhirnya merupakan kemenangan untuk menundukkan hawa nafsu, mudah-mudahan juga pada akhir jihad menentang COVID-19, kita dikurniai Allah kemenangan dan keselamatan daripada wabak ini. Ramadan yang berbeza namun lebih bermakna insya Allah!
Privasi anda
Halaman ini menerangkan dasar privasi yang merangkumi penggunaan dan perlindungan maklumat yang dikemukakan oleh pengunjung.
Sekiranya anda membuat transaksi atau menghantar e-mel yang mengandungi maklumat peribadi, maklumat ini mungkin akan dikongsi bersama dengan agensi awam lain untuk membantu penyediaan perkhidmatan yang lebih berkesan dan efektif. Contohnya seperti di dalam menyelesaikan aduan yang memerlukan maklum balas dari agensi-agensi lain.
Maklumat Yang Dikumpul
Tiada maklumat peribadi akan dikumpul semasa anda melayari laman web ini kecuali maklumat yang dikemukakan oleh anda melalui e-mel.
Apa yang akan Berlaku jika Saya Membuat Pautan kepada Laman Web yang Lain?
Laman web ini mempunyai pautan ke laman web lain. Dasar privasi ini hanya terpakai untuk laman web ini sahaja. Perlu diingatkan bahawa laman web yang terdapat dalam pautan mungkin mempunyai dasar privasi yang berbeza dan pengunjung dinasihatkan supaya meneliti dan memahami dasar privasi bagi setiap laman web yang dilayari.
Pindaan Dasar
Sekiranya dasar privasi ini dipinda, pindaan akan dikemas kini di halaman ini. Dengan sering melayari halaman ini, anda akan dikemas kini dengan maklumat yang dikumpul, cara ia digunakan dan dalam keadaan tertentu, bagaimana maklumat dikongsi bersama pihak yang lain.
Dasar Keselamatan
Perlindungan Data
Teknologi terkini termasuk penyulitan data adalah digunakan untuk melindungi data yang dikemukakan dan pematuhan kepada standard keselamatan yang ketat adalah terpakai untuk menghalang capaian yang tidak dibenarkan.
Keselamatan Storan
Semua storan elektronik dan penghantaran data peribadi akan dilindungi dan disimpan dengan menggunakan teknologi keselamatan yang sesuai.