Kelebihan Solat Tarawih
SYUKUR ke hadrat Allah SWT kerana kita diberikan kesempatan sekali lagi untuk menyambut Ramadan, bulan yang penuh keberkatan tahun ini.
Maka umat Islam seluruh dunia mulalah menunaikan solat tarawih dan menghidupkan rumah-rumah Allah dalam usaha mendapatkan gandaan pahala yang diberikan kepada mereka yang beriman.
Seperti kebiasaan suasana di rumah Allah hanya akan dilihat meriah pada 10 malam pertama Ramadan dan semakin berkurangan pada 10 malam terakhir.
Tidak dinafikan, istiqamah dalam setiap amalan kita sukar untuk dilakukan memandangkan iman setiap umat Islam ada turun naiknya.
tiga perkara utama yang dapat membantu seseorang itu istiqamah untuk menunaikan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan.
1. Niat
Setiap apa yang dilakukan haruslah berserta dengan niat, begitu juga solat tarawih.
"Kita nak sembahyang Tarawih kena niat kerana Allah.
"Tapi, ada yang niat nak makan moreh, jumpa kawan, berniaga atau ikut orang sahaja... sebab itulah solat tarawih itu tidak konsisten," jelasnya sambil menambah amalan seseorang akan terputus jika tidak diniatkan kerana Allah.
2. Kenali suasana lokasi solat tarawih
Kadangkala, bacaan imam yang tidak jelas juga boleh mempengaruhi seseorang itu untuk tidak meneruskan solat tarawih pada malam-malam berikutnya.
Jadi, mengenali imam adalah penting agar terus dapat menjadi seorang makmum yang khusyuk ketika menunaikan solat.
Suasana di dalam sesebuah masjid juga amat mempengaruhi persekitaran dan mampu meningkatkan rasa nikmat untuk menjalankan ibadah di bulan Ramadan.
3. Kelebihan tarawih
Sudah menjadi lumrah manusia untuk melakukan sesuatu selepas tertarik dengan kelebihan yang terdapat padanya.
"Kalau kita nak pergi melancong, mesti kita pilih destinasi itu sebab tarikan yang ada, bukan?
"Begitu juga dengan solat tarawih. Kalau kita tahu dan faham kelebihannya, pasti hati ini lebih mudah untuk istiqomah menunaikan sembahyang tarawih," ujarnya.
Sering kali juga kita dengar kelebihan menunaikan solat tarawih dari malam pertama hingga ke-30 dikongsikan, namun sejauh mana kesahihannya?
Berikut adalah antara kelebihan menunaikan solat tarawih yang dikongsi semula daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan.
Hadis berkaitan kelebihan solat tarawih setiap malam ini diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA:
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ditanya akan Kelebihan solat tarawih dalam bulan Ramadhan, lalu dikatakan baginda SAW bersabda:
Kelebihan solat tarawih malam pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
Kelebihan solat tarawih malam kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
Kelebihan solat tarawih malam ketiga
Para malaikat di bawah Arash menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
Kelebihan solat tarawih malam keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran.
Kelebihan solat tarawih malam kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjid al-Haram, Masjid al-Madinah dan Masjid al-Aqsa.
Kelebihan solat tarawih malam keenam
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Bait al-Ma’mur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih pada malam itu.
Kelebihan solat tarawih malam ketujuh
Seolah-olah dia dapat bertemu dengan Nabi Musa AS serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
Kelebihan solat tarawih malam kelapan
Allah SWT mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim AS.
Kelebihan solat tarawih malam kesembilan
Allah SWT akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad SAW.
Kelebihan solat tarawih malam ke-10
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
Kelebihan solat tarawih malam ke-11
Dia meninggal dunia dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
Kelebihan solat tarawih malam ke-12
Dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya seperti bulan.
Kelebihan solat tarawih malam ke-13
Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang kejahatan dan keburukan.
Kelebihan solat tarawih malam ke-14
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat tarawih serta Allah SWT tidak akan menghisab mereka.
Kelebihan solat tarawih malam ke-15
Semua malaikat yang memikul Arash dan Kursi akan berselawat serta mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Kelebihan solat tarawih malam ke-16
Allah SWT menuliskan baginya dalam kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Kelebihan solat tarawih malam ke-17
Allah SWT menuliskan baginya pahala pada malam ini seperti pahala Nabi-Nabi.
Kelebihan solat tarawih malam ke-18
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah! sesungguhnya Allah telah reda denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
Kelebihan solat tarawih malam ke-19
Allah SWT akan meninggikan darjatnya.
Kelebihan solat tarawih malam ke-20
Allah SWT mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
Kelebihan solat tarawih malam ke-21
Allah SWT akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat daripada cahaya.
Kelebihan solat tarawih malam ke-22
Dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang dukacita dan kesedihan pada hari tersebut.
Kelebihan solat tarawih malam ke-23
Allah SWT akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga.
Kelebihan solat tarawih malam ke-24
Allah SWT akan memberinya dua puluh empat permintaan yang mustajab.
Kelebihan solat tarawih malam ke-25
Allah SWT akan mengangkat seksa kubur daripadanya.
Kelebihan solat tarawih malam ke-26
Allah SWT akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat tarawih pada malam tersebut.
Kelebihan solat tarawih malam ke-27
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
Kelebihan solat tarawih malam ke-28
Allah SWT akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di syurga.
Kelebihan solat tarawih malam ke-29
Allah SWT akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
Kelebihan solat tarawih malam ke-30
Allah SWT akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): "Wahai hambaku! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam air yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama al-Kauthar. Aku Tuhanmu dan engkau adalah hambaku”.
Sumber hadis: Kitab Durrah al-Nasihin pada halaman ke 19.
Hukum Hadis
Hadis ini adalah palsu lagi dusta di atas nama Nabi SAW dan juga sahabat baginda SAW iaitu Ali bin Thalib.
Laman web Mufti Wilayah juga menegaskan bahawa haram bagi kita menyebarkannya kepada orang lain kerana telah jelas tanda-tanda atau ciri-ciri kepalsuan hadis tersebut seperti yang telah digariskan oleh para ulama.
Antara ciri-ciri hadith palsu adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Ibn Qayyim di dalam karyanya:“Hadith palsu itu antara cirinya ialah padanya terdapat unsur berlebih-lebihan dalam menetapkan pahala dan dosa.
"Perkara yang kecil diletakkan hukuman yang terlalu besar ataupun ganjaran yang terlalu besar yang tidak munasabah”.